Monday, November 30, 2009

MIER - Econ Growth in 2010

Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), yang mengunjurkan kadar dasar semalaman secara relatifnya tidak berubah
sekurang-kurangnya hingga akhir tahun depan, mengekalkan unjuran ekonomi negara pada kadar menguncup sebanyak -3.3 peratus tahun ini dan berkembang 3.7 peratus tahun depan.

Bagi 2011, badan pemikir itu lebih optimistik terhadap ekonomi, mengunjurkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berkembang 5.0 peratus, kata pegawai tinggi agensi itu pada sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

Dengan petunjuk ekonomi menunjukkan tanda-tanda peningkatan, MIER juga menjangkakan ekonomi akan keluar daripada kemelesetan dalam suku keempat tahun ini, yang dibuktikan menerusi trend positif dalam Indeks Pengeluaran Perusahaan (IPI), yang bermakna peningkatan aktiviti industri.

Ia turut disokong hasil kesan perbelanjaan infrastruktur awam yang lebih besar, pemulihan dalam sektor pembuatan, perbelanjaan domestik yang lebih tinggi serta perkhidmatan dagangan yang meningkat.

MIER juga menjangkakan pertumbuhan eksport pulih kepada 9.3 peratus pada 2010 selepas turun kepada -17.5 peratus tahun ini.

Pemulihan permintaan daripada sektor elektrik dan elektronik global serta harga komoditi yang meningkat, juga akan meningkatkan pertumbuhan eksport kepada angka positif yang kecil menjelang suku keempat tahun ini, katanya. BERNAMA

No comments: